Tuesday, October 5, 2010

Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam

Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

2. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.

3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Keterangan/Hujah:

1.Jumhur Ulama’ (al-Hanafiyyah, al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah) berpandangan, anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu ataupun bapa. Pandangan ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: Daripada `A’idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi SAW bersabda : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

2.Kaedah fiqh telah menetapkan اَلْصَغِيْرُ يَتَّبِعُ خَيْرَ الأَبَوَيْنِ دِيْنًا . Ini bermakna, seorang anak akan menjadi Islam apabila ibu atau bapanya memeluk Islam kerana Islam adalah agama terbaik dan tidak ada yang lebih baik dan mulia daripadanya.

3.Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Berdasarkan kepada peruntukan ini persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) ini adalah "parent or guardian” bukannya "parents or guardian” yang mana ia bermaksud ”ibu atau bapa atau penjaga.”

4.Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) - dalam seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] memperuntukkan seperti berikut:

“Keupayaan masuk Islam

95. Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan-

(a) mencapai umur lapan belas tahun; atau

i.(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.”.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...